BERANG sering disuruh mencari pekerjaan, seorang pemuda yang masih menganggur didakwa tergamak mengugut ibu kandungnya menggunakan tukul besi.Lelaki berusia 28 tahun itu turut mengaku tidak tahan lagi mendengar nasihat berulang kali daripada ibu bapanya yang memintanya berhenti bergaul dengan rakan-rakan penagih dadah. Kejadian berlaku di rumah keluarganya di Jalan Mangkubumi, Gang Kelinci, Kampung Aur, Medan Maimun, Indonesia, kira-kira pukul 8 malam waktu tempatan pada Sabtu.Susulan kejadian itu, suspek ditahan pada Ahad selepas video serta maklumat mengenai perbuatannya tular di media sosial.Mangsa, Risma Delima Hutabarat, 50, merupakan seorang suri rumah yang tinggal serumah dengan suspek.Ketua Polis Sektor Medan Kota, Kompol Johan Kurniawan berkata, pihaknya turut merampas tukul besi yang dipercayai hendak digunakan suspek untuk memukul mangsa."Polis menahan suspek bersama barang bukti berupa tukul besi yang dipercayai hendak digunakan untuk memukul mangsa," katanya.Menurut Johan, siasatan awal mendapati suspek mengaku berang kerana sering diminta mencari pekerjaan selain ditegur supaya tidak bergaul dengan penagih dadah.Suspek turut mendakwa berasa disisihkan keluarganya sehingga tidak dapat menerima nasihat ibu bapanya.Dia juga mengaku menggunakan dadah sepanjang hari sebelum bertindak mengugut ibunya. -Agensi